Kesilapan Biasa Semasa Berucap


Berucap di hadapan khalayak ramai sememangnya menjadi satu cabaran buat individu di dalam membangunkan kerjaya dalam bidang yang diceburi sama ada sebagai staf yang bekerja untuk organisasi ataupun usahawan yang bekerja sendiri. Apabila melakukan sesuatu ucapan, kerapkali berlakunya kesilapan-kesilapan umum yang boleh menyebabkan ucapan tersebut gagal menarik perhatian audien ataupun gagal mencapai objektif yang dikehendaki.  Mari kita renungkan sejenak antara kesilapan-kesilapan umum yang dilakukan oleh pengucap awam. 

Ramai pengucap awam menggunakan nada suara yang ‘membosankan’ atau terlalu lembut hinggakan ianya tidak mendatangkan kesan emosi kepada orang yang mendengar ucapan itu. Kecenderungan membaca terus dari skrip atau teks juga kerap dilakukan oleh pengucap awam terutamanya yang baru berjinak-jinak dalam bidang ini.  Pengucap awam juga dikatakan gagal memberikan ekpresi muka yang baik kepada audiennya.  Ini boleh mewujudkan jurang hubungan antara si penceramah dan audien sedangkan dalam sesi pengucapan awam, hubungan antara kedua-duanya harus terbentuk dan menjadi tanggungjawab penceramah tersebut menggunakan kaedah tertentu dalam mewujudkan hubungan bersama audiennya. 

Kesilapan dari sudut penggunaan bahasa termasuklah tatabahasa, ejaan, sebutan dan sebagainya lagi juga merupakan antara kesilapan yang kerap dilakukan.  Ini menjejaskan kredibiliti si penceramah terbabit.  Kesilapan ini mungkin berlaku disebabkan kurangnya masa diperuntukkan untuk menyemak setiap ejaan sekiranya penceramah menggunakan slaid pembentangan.  Begitu juga dengan masalah sebutan yang tidak tepat di mana ia boleh memberikan gambaran negatif terhadap kredibiliti penceramah tersebut.Ada sesetengah pengucap awam terlalu serius dalam ucapannya sehinggakan tiada unsur-unsur humor atau jenaka sepanjang ucapan yang dilakukan.  Unsur jenaka harus diselitkan semasa melakukan ucapan agar audien merasa terhibur dan boleh mengekalkan hubungan baik antara audien dan penceramah.  

Pengucap awam juga didapati kerap berada dalam keadaan ‘kaku’ seolah-olah seperti sebuah patung dalam menyampaikan ucapan.  Sebaik-baiknya, perlu ada pergerakan ke kiri dan kanan pentas yang digunakan.  

Akhir sekali, pengucap awam didapati tidak mempamerkan tahap keyakinan diri yang baik ketika berucap.  Ini mungkin disebabkan oleh perasaan gemuruh yang berlegar di dalam diri penceramah.  Di samping itu, personaliti individu juga perlu diambil perhatian kerana personaliti yang kurang menarik akan menyebabkan audien merasa kurang yakin terhadap penceramah dan mengurangkan minat mereka untuk mendengar mesej yang cuba disampaikan.  Personaliti ini termasuklah pemakaian, tingkahlaku, cara penceramah berinteraksi dengan audien dan keikhlasan yang ditunjukkan oleh penceramah kepada audien yang mendengar.  

#Dapatkan buku ini bagi mengetahui lebih banyak tips yang berguna pada anda

Hubungi penerbit/pengedar: 019-475 7827
Harga Jualan: RM20.00 sahaja

No comments:

Post a Comment