Siapa yang terpenting? Anda atau Orang di hadapan anda?

Ada orang bertanya kepada saya, "Apakah yang paling utama apabila berkomunikasi?". Saya tanya kembali orang tersebut, "Anda bertanya saya?".  Jawab orang itu, "Ya, saya bertanya anda,". "Jika anda bertanya saya semasa anda berkomunikasi dengan saya, maka jawapan bagi pertanyaan anda tentang apakah yang paling utama apabila berkomunikasi adalah 'saya',". Orang itu nampak kebingungan. Lalu diperjelaskan bahawa, apabila kita berkomunikasi, ianya melibatkan dua pihak.  Kita sebagai pengirim mesej dan orang lain sebagai penerimanya.  Orang yang di hadapan kitalah harus menjadi keutamaan apabila menyampaikan mesej. Dalam apa jua situasi anda berkomunikasi termasuklah ketika menyampaikan ucapan atau ceramah. Cuma bezanya, dalam ucapan ianya dipanggil 'audien'.

Tanpa audien, tiadalah anda.  Tanpa penonton, tiadalah penyanyi.  Ibarat seorang penyanyi yang bakal menyampaikan nyayiannya di hadapan puluhan malahan ratusan audien, fokus utama yang perlu diberi perhatian adalah terhadap audien itu sendiri.  Sekiranya audien tidak terhibur dengan persembahan itu, maka gagallah persembahan yang ditunjukkan. 

Anda haruslah meletakkan audien itu sebagai keutamaan di dalam menyediakan ucapan mahupun ketika menyampaikan ucapan.  Audien haruslah sentiasa berada di minda anda sebelum dan semasa melakukan ucapan.  Semasa di dalam proses persediaan ucapan, anda harus memikirkan isi kandungan ucapan anda sama ada bersesuaian dengan audien.  Adakah topik itu sesuai dengan kehendak mereka? Apakah manafaat yang bakal mereka perolehi hasil dari ucapan anda?  Bagaimana dengan penggunaan alat audio visual? Begitu juga ketika anda sedang menyampaikan ucapan.  Ketahuilah bahawa audien anda sedang memerhatikan anda dan menanti mesej yang bakal anda sampaikan yang berkait rapat dengan kehidupan dan kesejahteraan mereka.  Anda akan mendapat reaksi positif dari mereka sekiranya mesej ucapan anda benar-benar menyentuh peribadi dan kehidupan serta apa yang mereka sedang lakukan ketika ini. 

Anda juga harus pertimbangkan akan matlamat ucapan anda.  Apa yang hendak anda beritahu mereka, apa yang anda hendak mereka percaya dan apa yang anda hendak mereka lakukan melalui ucapan anda.  Pastinya ia memerlukan strategi untuk meyakinkan mereka.  Pilihlah mana-mana strategi yang boleh menyokong idea anda.  Kalau dilihat penjual ubat di pasar malam, cuba teliti bagaimana mereka menggunakan kaedah tertentu untuk meyakinkan audien yang mendengar.  Ada antara mereka melakukan demonstrasi bagi mempertahankan hujah mereka.  Ada pula yang membawa bahan-bahan bertulis seperti keratan akhbar dan majalah sebagai testimoni yang bertujuan juga bagi menyokong idea mereka.  



Ingin berbengkel bersama kami?

Hubungi:
019-475 7827 atau emel: pdevresources@gmail.com

PENGUCAPAN AWAM dan PENGACARAAN....Ada Persamaan kah?

Baru-baru ini, sebaik selesai mengendalikan satu majlis korporat, seorang kenalan bertemu saya dan bertanya, "Hey KN...congratulations!!!..You did a great job...Your voice, attitude..seems perfect..that were great.  How you did it, yeah???"

Lantas saya menyatakan rahsia di sebalik kejayaan mengendalikan majlis formal sebegitu.  Semuanya terletak pada SKIL Pengucapan Awam yang anda miliki.  Dia nampak agak keliru.  Ayuh, saya terangkan di sini:

Antara berucap di hadapan khalayak ramai dan mengacarakan sesuatu majlis sama ada sebagai emcee ataupun hos, terdapat beberapa PERSAMAAN yang sangat ketara.  

Keyakinan

Tanpa elemen ini, anda tidak akan dapat menjayakan slot yang diberikan kepada anda.  Anda perlu yakin terhadap kemampuan yang anda miliki. Keyakinan perlu dirasai oleh anda secara dalaman dan dilihat secara luaran oleh audien.  

Ketelitian

Walaupun anda sudah biasa mengacarakan majlis sebelum ini atau berucap di mana-mana 'occasion', namun percayalah, setiap kali anda diminta mengacarakan majlis atau memberikan ceramah/taklimat, anda memerlukan ketelitian yang lebih dari biasa.  Anda perlu teliti bukan sekadar pada kandungan bahan anda, malah dari aspek penyampaian, suara, pergerakan, pakaian dan sebagainya lagi.  Anda perlu melakukan latihan sekerap mungkin bagi 'familiarise' diri anda dengan bahan yang akan anda gunakan.  

Susunan Kandungan Yang Sistematik

Dalam memberikan ucapan atau mengacarakan majlis, anda perlu menyusun isi-isi utama dan isi sokongan dengan lebih sistematik agar ianya jelas didengari oleh audien anda.  Kadang-kadang si penceramah ini punyai banyak poin untuk diterangkan.  Mungkin kerana ia punyai lebih pengalaman.  Namun, adalah lebih baik sekiranya isi-isi itu disusun dengan lebih sistematik bagi menggambarkan tahap profesionalisma si penceramah.  Dalam mengacarakan majlis, anda perlu menyususn isi-isi berdasarkan kepada tentative program yang perlu selari dengan apa yang diedarkan kepada audien.  

Interaksi Bersama Audien

Adakah audien akan berminat sekiranya orang yang berucap di hadapan tidak berinteraksi bersama mereka? Anda perlu mengekalkan interaksi bersama mereka kerana mesej utama yang anda ingin sampaikan adalah untuk mereka.  Mereka yang mendengar. Mereka yang perlu difahami. Antara teknik yang anda boleh lakukan adalah dengan mengekalkan 'hubungan mata' yang baik dan terus kepada mereka.  Jangan banyak membaca dari teks ataupun slaid.  Berkomunikasilah dengan audien anda!!

Suara Jelas & Dinamik

Elemen ini sangat penting dalam pengucapan awam mahupun pengacaraan.  Anda harus mengadakan latihan bagi meningkatkan kejelasan dan kekuatan suara anda. Jadikan ianya lebih dinamik. Pastikan anda mengawal nada dengan baik. Tidak terlalu laju.  Ada masa anda tinggikan nada dan ada masanya pula anda rendahkan.  Ianya bagi membangkitkan emosi audien.  

Kredibiliti

Dari mana wujudnya kredibiliti?  Andakah? Sebenarnya, kredibiliti itu terletak pada tanggapan audien anda. Merekalah yang membuat keputusan sama ada anda seorang pengucap awam atau pengacara ataupun hos yang punyai kredibiliti ataupun sebaliknya. Anda hanya perlu membuat yang terbaik bagi meningkatkan kredibiliti anda di mata mereka.  Oleh itu, anda harus lebih peka terhadap pembawaan diri anda termasuklah dalam aspek lisan dan juga komponen tanpa lisan anda.  

Gabungan elemen-elemen di atas merupakan antara panduan yang boleh dikongsi dalam meningkatkan kemahiran anda apabila berinteraksi dengan audien sama ada dalam konteks pengucapan awam mahupun pengacaraan. Percayalah, sekiranya anda bagus dalam pengucapan awam, anda pastinya tidak kekok mengendalikan majlis-majlis korporat. 


Ingin Berbengkel Bersama Kami.  Aturkan masa anda. 

Hubungi: 019-475 7827 @ 013-928 7368 (24hrs)
emel: pdevresources@gmail.com

KOMPETENSI ANDA adalah FOKUS KAMI

Kesilapan Biasa Semasa Berucap


Berucap di hadapan khalayak ramai sememangnya menjadi satu cabaran buat individu di dalam membangunkan kerjaya dalam bidang yang diceburi sama ada sebagai staf yang bekerja untuk organisasi ataupun usahawan yang bekerja sendiri. Apabila melakukan sesuatu ucapan, kerapkali berlakunya kesilapan-kesilapan umum yang boleh menyebabkan ucapan tersebut gagal menarik perhatian audien ataupun gagal mencapai objektif yang dikehendaki.  Mari kita renungkan sejenak antara kesilapan-kesilapan umum yang dilakukan oleh pengucap awam. 

Ramai pengucap awam menggunakan nada suara yang ‘membosankan’ atau terlalu lembut hinggakan ianya tidak mendatangkan kesan emosi kepada orang yang mendengar ucapan itu. Kecenderungan membaca terus dari skrip atau teks juga kerap dilakukan oleh pengucap awam terutamanya yang baru berjinak-jinak dalam bidang ini.  Pengucap awam juga dikatakan gagal memberikan ekpresi muka yang baik kepada audiennya.  Ini boleh mewujudkan jurang hubungan antara si penceramah dan audien sedangkan dalam sesi pengucapan awam, hubungan antara kedua-duanya harus terbentuk dan menjadi tanggungjawab penceramah tersebut menggunakan kaedah tertentu dalam mewujudkan hubungan bersama audiennya. 

Kesilapan dari sudut penggunaan bahasa termasuklah tatabahasa, ejaan, sebutan dan sebagainya lagi juga merupakan antara kesilapan yang kerap dilakukan.  Ini menjejaskan kredibiliti si penceramah terbabit.  Kesilapan ini mungkin berlaku disebabkan kurangnya masa diperuntukkan untuk menyemak setiap ejaan sekiranya penceramah menggunakan slaid pembentangan.  Begitu juga dengan masalah sebutan yang tidak tepat di mana ia boleh memberikan gambaran negatif terhadap kredibiliti penceramah tersebut.Ada sesetengah pengucap awam terlalu serius dalam ucapannya sehinggakan tiada unsur-unsur humor atau jenaka sepanjang ucapan yang dilakukan.  Unsur jenaka harus diselitkan semasa melakukan ucapan agar audien merasa terhibur dan boleh mengekalkan hubungan baik antara audien dan penceramah.  

Pengucap awam juga didapati kerap berada dalam keadaan ‘kaku’ seolah-olah seperti sebuah patung dalam menyampaikan ucapan.  Sebaik-baiknya, perlu ada pergerakan ke kiri dan kanan pentas yang digunakan.  

Akhir sekali, pengucap awam didapati tidak mempamerkan tahap keyakinan diri yang baik ketika berucap.  Ini mungkin disebabkan oleh perasaan gemuruh yang berlegar di dalam diri penceramah.  Di samping itu, personaliti individu juga perlu diambil perhatian kerana personaliti yang kurang menarik akan menyebabkan audien merasa kurang yakin terhadap penceramah dan mengurangkan minat mereka untuk mendengar mesej yang cuba disampaikan.  Personaliti ini termasuklah pemakaian, tingkahlaku, cara penceramah berinteraksi dengan audien dan keikhlasan yang ditunjukkan oleh penceramah kepada audien yang mendengar.  

#Dapatkan buku ini bagi mengetahui lebih banyak tips yang berguna pada anda

Hubungi penerbit/pengedar: 019-475 7827
Harga Jualan: RM20.00 sahaja

Kesesuaian Menggunakan 'Gesture'

Pernah seketika saya singgah minum di sebuah kedai kopi di tengah bandar. Di meja hadapan terdapat dua lelaki asyik berbual dengan begitu aktif diselang-seli dengan senyum ketawa.  Tentu topik yang dibualkan itu menarik.  Ini dapat dilihat dari sudut pergerakan 'gesture' yang ditunjukkan semasa mereka berinteraksi.  

Gesture merupakan pergerakan anggota badan khususnya 'tangan' dan jari-jemari sewaktu kita berkomunikasi dengan orang lain sama ada antara individu ataupun anda sedang memberikan ucapan di hadapan orang ramai.  

Penggunaan gesture yang baik dapat meningkatkan lagi kefahaman orang yang sedang berinteraksi dengan anda.  Walaubagaimanapun, ianya bergantung kepada saiz/bilangan orang yang berada di hadapan anda. Sekiranya anda hanya berkomunikasi secara interpersonal iaitu antara seorang dengan seorang yang lain atau beberapa orang sahaja, maka pergerakan anggota badan anda harus 'diminimumkan'. 

Andainya anda sedang menyampaikan ucapan/taklimat/ceramah di mana tentunya bilangan audien anda agak ramai, tentunya anda perlu 'melebarkan' sedikit penggunaan gesture anda.  Anda mungkin perlu menggunakan pergerakan tangan dengan lebih luas seperti mendepakan lagi ruang tangan anda, meninggikan lagi pergerakan tangan bukan sekadar pada bahagian dada sahaja.  

Sesetengah penceramah suka 'menuding jari' ke arah audiennya apabila bertanyakan sesuatu. Apa yang anda rasa apabila seseorang menuding jari ke arah anda?  Adakah anda rasa seperti bersalah?.Anda mungkin akan rasa lebih selesa sekiranya penceramah tadi menggunakan teknik 'tangan terbuka' iaitu tidak menggunakan 'jari telunjuk' semata-mata tetapi lebih kepada penggunaan tangan yang dihalakan kepada anda.

Penggunaan 'gesture' yang berlebihan bakal mengundang persepsi negatif terhadap anda namun tanpa penggunan 'gesture', mesej anda akan kelihatan kaku.  Oleh itu, gunakanlah 'gesture' secara berpatutan dan efektif. 

#Inginkan perkongsian dari kami? Sila aturkan pertemuan dengan kami.  Hubungi:
  019-4757827/013-9287368 (24hrs)
  emel: pdevresources@gmail.com



Pentingnya PAUSE Ketika Menyampaikan Ucapan

Dalam satu sesi bengkel yang diadakan sebelum ini, beberapa peserta diberi peluang 'berucap' dalam tempoh beberapa minit mengenai apa sahaja topik yang menjadi kegemaran mereka.  Di akhir sesi tersebut, saya memberikan komen kepada salah seorang dari mereka,

"Anda telah berkongsi satu topik yang amat menarik namun tempo suara anda yang agak laju memberikan sedikit gangguan kepada audien.  Anda perlu melakukan 'pause' sepanjang ucapan anda bagi memberikan impak yang lebih menarik,"

'Pause' atau dalam bahasa Melayu dipanggil 'jeda'/hentian merupakan satu elemen yang sangat penting semasa anda berkomunikasi secara lisan terutamanya ketika menyampaikan ucapan, menjelaskan sesuatu kepada orang lain, mengendalikan mesyuarat dan sebagainya lagi.  

Ada kalanya kita berhenti sejenak semasa kita bercakap bagi memberikan nafas baru kepada idea yang akan dilontarkan.  Anda perlu menggunakan kaedah ini bagi memastikan idea-idea baru diproses dengan baik.  Sebagai contoh, apabila anda ditanya semasa sesi soal jawab oleh audien, anda hanya perlu berhenti sejenak sebelum memulakan sebarang percakapan kerana apabila anda berhenti sejenak, anda dapat memikirkan respon yang terbaik atau mengumpulkan idea-idea atau maklumat bagi menjawab persoalan tadi.    

Hentian memberikan impak terhadap ucapan anda.  Bayangkan anda bercakap tanpa melakukan hentian pada ayat yang diucapkan.  Tentunya audien akan terpinga-pinga akan maksud sebenar yang hendak disampaikan.  Oleh itu, sekiranya anda melakukan hentian dalam ucapan anda, ianya merupakan sesuatu yang positif kerana dapat meningkatkan kefahaman audien terhadap idea yang anda sampaikan. 

Sesetengah orang mengisi ruang antara idea lama dengan baharu melalui beberapa ekspresi sepeti 'aaa..hmm..'.  Ekspresi sebegini sebenarnya memberikan gangguan kepada audien dalam menghayati mesej yang anda cuba sampaikan.  Sebagai contoh, ketika salah seorang jurujual memperkenalkan diriya,

"Assalamualaikum dan selamat pagi.  Nama saya Megat Abdul Rahman. Aaaaa Saya adalah wakil jualan syarikat S. Aaaaaa tujuan saya datang ini..aaaaaa...untuk memperkenalkan produk baru kami..."

Adalah lebih efisyen sekiranya ekspersi aaaaa..itu digantikan dengan 'pause' dan pastinya ia lebih menonjolkan diri anda sebagai pengucap awam yang berpotensi. 

Untuk mengetahui banyak lagi tips untuk meningkatkan kemahiran berucap, sila aturkan sesi Bengkel Kami Bersama Anda di talian:

019-475 7827 / 013- 928 7368 (24hrs)
email: pdveresources@gmail.com

'Resume' Alat Pemasaran Potensi Anda

Baru-baru ini, saya mengendalikan satu bengkel atas jemputan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta bagi program Finshing School yang bertajuk, Bengkel Penulisan Resume Yang Efektif.  Seramai lebih 250 pelajar semester akhir menghadiri bengkel tersebut. 

Banyak yang telah dikongsikan bersama peserta pada hari itu dan yang paling menarik adalah satu pertanyaan dari seorang peserta yang ingin mengetahui setakat manakah pentingnya resume kepada seseorang graduan.

Saya menjawab.  Kalau hendak diukur tentang kepentingan memanglah boleh disenaraikan beberapa isi yang mencerminkan kepentingan resume itu.  Namun, terdapat satu frasa yang dikira lebih menepati kehendak bakal majikan dan juga keperluan bagi menghasilkan satu bentuk resume yang baik dari para graduan iaitu, 

"Resume Is A Great Marketing Tool"

Resume merupakan satu bentuk dokumen yang menceritakan berkenaan 'skil' dan juga 'pencapaian' yang dimiliki oleh seseorang graduan.  Ianya perlu dikarang dengan baik dan diteliti dengan sempurna agar ianya menjadi satu dokumen pengenalan diri yang bukan sahaja sedap dibaca malah mencerminkan 'kualiti' si empunya resume.  

Sebagaimana produk baru yang hendak dipasarkan ke pasaran luar, ianya perlu dipastikan cukup berkualiti dan memenuhi standard tertentu.  Begitulah juga dengan seseorang graduan.  Selama lebih 3 tahun menghabiskan masa di kampus, sekarang tibalah masa untuk terjun ke ruang pekerjaan pula.  

Dalam kerjaya hari ini, peluang mendapatkan pekerjaan yang diidamkan bukan perkara mudah.  Anda terpaksa bersaing dengan berpuluh-puluh malah beratus-ratus calon lain sebelum dipilih memegang sesuatu jawatan.  

Perkara pertama apabila anda ingin memohon sebarang jawatan adalah dengan menghantar surat permohonan beserta 'resume'.  Inilah dokumen yang menjadi pengenalan diri anda kepada bakal majikan. Titik-tolak sama ada anda akan dipanggil temudua ataupun tidak bergantung sepenuhnya kepada kedua-dua dokumen ini.

Resume mencerminkan siapa diri anda, apa yang anda ada, kenapa anda begitu istimewa dan apa yang anda boleh sumbangkan kepada organisasi.  Terdapat beberapa elemen asas yang perlu ada dalam sesuatu resume yang baik iaitu:
  1. Contact Information
  2. Career Objective
  3. Education
  4. Working Experience
  5. Skills
  6. Community Service
  7. Interests
  8. References
Kemampuan anda menulis resume dengan baik yang dapat memaparkan kualiti diri anda kepada bakal majikan dapat melonjakkan potensi diri anda sebagai calon pilihan majikan di samping mendapat peluang ditemuduga dan seterusnya mendapatkan pekerjaan.  

Oleh itu, berhati-hatilah apabila membentuk resume anda kerana ianya adalah satu alat pemasaran potensi anda yang sangat hebat.

# Hubungilah kami untuk mengaturkan sesi bengkel bersama kumpulan anda:
 
   Emel: pdevresources@gmail.com
   Tel: 09-475 7827 / 013-928 7368 (24hrs)