Ada orang berjumpa saya dan mengatakan, "Tangan saya berpeluh ketika menyampaikan ucapan,". Adakah itu petanda saya diselubungi perasaan gemuruh?. Jawapannya, ya. Tangan berpeluh, lutut terasa longgar, jantung berdegup lebih kencang dari biasa, keadaan perut tidak selesa merupakan antara petanda anda mengalami sindrom perasaan gementar/gemuruh terutamanya sebelum menyampaikan sesuatu ucapan.
Adakah perasaan gemuruh ini terlalu negatif yang tidak membantu prestasi ucapan anda? Tentunya tidak. Ianya menjadi negatif sekiranya anda tidak mampu mengawalnya dengan baik. Perasaan gemuruh sememangnya wujud dalam setiap diri seseorang pengucap awam sama ada ia seorang yang berpengalaman atau yang baru pertama kali menyampaikan ucapan di hadapan orang ramai. Sebagai manusia biasa yang normal, perasaan ini sentiasa wujud setiap kali anda diminta melakukan sesuatu ucapan/pembentangan.
Perasaan gemuruh bukanlah penyebab anda gagal menyampaikan ucapan dengan berkesan malahan ianya boleh menjadi Rakan Sejati anda kerana ia dapat membantu anda dalam menyampaikan ucapan, pembentangan ataupun taklimat dengan penuh kreatif dan dinamik serta diingati oleh audien anda.
Berikan keutamaan anda kepada audien. Fikirkan mengenai mereka. Apa yang anda ingin mereka tahu, ingat dan lakukan sepanjang sesi ceramah anda bersama mereka. Sekiranya anda tidak prihatin terhadap mereka, maka mereka juga akan berhenti dari 'prihatin' terhadap anda tidak kira betapa hebatnya anda.
Jadikan perasan gemuruh anda ini sebagai pintu dalam membina kekuatan, meningkatkan kreativiti, melakukan persediaan ucapan dengan lebih baik dan penuh bertenaga bagi mendapatkan sokongan audien anda. Perasaan gemuruh ini merupakan satu perkembangan yang positif dan pastinya ia membantu meningkatkan kecekapan anda dalam menyampaikan ucapan kerana anda 'prihatin' terhadap audien anda dan sentiasa melakukan yang 'terbaik' buat mereka.